Friday, 24 July 2015

MEMBACA PENTING UNTUK KECEMERLANGAN ORGANISASI

DITULIS OLEH MOHAMAD AMLI.
Menurut Islam, membaca adalah perintah pertama diwahyukan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW  bertempat di Gua Hira’, Mekah iaitu dengan firman tuhannya yang bermaksud “Bacalah”. Membaca penting kepada kehidupan manusia bagi tujuan memperolehi dan seterusnya mendalami sesuatu ilmu. Proses ini juga dapat membantu membentuk pemikiran, perasaan dan tingkah laku individu. Inilah yang terkandung dalam falsafah pendidikan negara yang dijanakan oleh pemikir terdahulu.
Malaysia adalah sebuah negara membangun yang sedang bergerak ke arah negara maju. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, negara perlu mempunyai warga negara yang berpengetahuan tinggi dan luas. Apabila negara mempunyai warganya yang berpengetahuan, maka barulah kita boleh mencapai wawasan yang diidamkan selama ini. Kesan dari itu, setiap warga negara akan berpengetahuan dan bijak. Hal ini penting kepada negara kita.
Kenapa masyarakat perlu membaca ? Membaca adalah proses berterusan yang sebenarnya perlu dipupuk dari awal. Oleh itu, masyarakat kita wajar diberi ruang untuk membaca. Misalnya setiap penjawat awam perlu mencari ruang dengan sesuatu masa tertentu dalam sehari untuk membaca. Apa sahaja bahan bacaan. Barangkali 10-15 minit masa sudah memadai untuk proses tersebut. Namun, dari sudut ilmiahnya, terlebih baiknya ialah bahan bacaan yang bersifat positif dan memberi kebaikan kepada organisasi dan diri seseorang itu.
Di samping itu, membaca boleh memberi nilai tambah kepada organisasi. Misalnya seperti amalan nilai yang sudah dipraktikkan oleh setiap individu, jika dibaca lagi akan mengukuhkan lagi amalan nilai dan menambahkan pengetahuan yang sedia ada. Amalan nilai misalnya, amanah, jujur, bersyukur, berintegriti dan sebagainya boleh memberi kesan positif kepada organisasi. Katakan, seseorang pegawai atau pembantu tadbir yang banyak membaca, mereka boleh mengarangkan surat rasmi, minit mesyuarat, memo, laporan dan sebagainya dengan mudah. Ayat-ayat yang tersimpan di fikiran akan mudah dikeluarkan dengan laras bahasa yang menarik.
Selanjutnya, membaca juga penting bagi tujuan komunikasi dalam organisasi.  Mereka yang membaca mempunyai ketajaman dalam berfikir dan seterus berbual. Seseorang yang banyak klausa-klausa dalam fikiran akan mudah melontarkan kata-kata yang segar dan sedap didengar. Apabila ini berlaku, maklumat yang diterima dan dihantar akan berkesan. Inilah yang dinamakan komunikasi berkesan. Sebagai contoh perbualan melalui telefon perlulah ilmu pengetahuan. Begitu juga arahan dari seorang ketua kepada anak buahnya perlu maklumat yang mudah difahami seterusnya mudah diambil tindakan.
Perlu difahami, komunikasi berkesan bermula dengan bacaan yang luas. Ada sesetengah maklumat tidak dapat difahami kerana penyampaian maklumat tidak tepat. Ada kalanya, mereka menggunakan bahasa daerah di tempat kerja. Jika hal ini berlaku, ketirisan maklumat akan berleluasa. Oleh sebab itu, pentingnya di sini ruang membaca. Walaupun sesibuk mana sekalipun seseorang pekerja itu perlu mencari ruang untuk membaca. Sekurang-kurangnya surat khabar sebagai santapan minda.
Membaca adalah jambatan ilmu. Oleh itu, tidak kiranya seseorang bekerja di sektor mana sekalipun sama ada swasta atau awam mereka harus membaca. Tidak keterlaluan, jika membaca dikatakan terapi kepada minda yang kosong. Ia juga ubat kepada kejahilan. Pekerja yang bekemahiran dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas akan memberi pandangan yang positif untuk organisasinya. Mereka akan menjadi lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih efektif di dalam melaksananakan tugas di tempat kerja. Walaupun jika seseorang pekerja itu tidak belajar tinggi, dengan membaca sistem kerja akan lebih kemas, tersusun dan berdisiplin.
Kesimpulannya, membaca sangat penting kepada setiap individu lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja. Dorongan perlu diberikan kepada kepada pekerja agar mereka lebih bermaklumat, lebih berpengetahuan dan lebih produktif di setiap organisasi bagi mencapai wawasan 2020 untuk membentuk masyarakat dan generasi yang berpengetahuan tinggi sama seperti negara maju lain. 

No comments:

Post a Comment